Cakra Khan Bermula Dengan Irama Dangdut

Cakra Khan Bermula Dengan Irama Dangdut
Nama Cakra Khan mungkin baru di dalam industri muzik tanah air malah mungkin ramai yang pada mulanya keliru dengan namanya yang menyerupai Chaka Khan, penyanyi legenda Amerika yang popular dahulu. Namun jika pertama kali mendengar suara ‘husky’ milik penyanyi seberang berusia 24 tahun ini pasti ramai yang ternganga mulut dan terkesima dengan bakat yang dimilikinya ini. Cakra Khan muncul di arena muzik tanah air ketika dia menyanyikan single pertamanya, ‘Harus Terpisah’ pada tahun 2013 dan sejak itu dia mula menjadi bualan ramai. Diikuti dengan single keduanya, “Setelah Kau Tiada’ dan terus kemunculan album sulungnya yang telah menemui peminat tahun lepas. Kejayaan tersebut diteruskan dengan gandingan duet bersama Dato’ Siti Nurhaliza menerusi lagu ‘Seluruh Cinta’. Jom baca selanjutnya temu bual bersama artis dari seberang ini. Cakra memulakan minatnya terhadap nyanyian sewaktu kecil lagi. Dia mula menyanyikan lagu-lagu dangdut seawal umur 8 tahun untuk majlis-majlis perkahwinan. Malah Cakra turut memberitahu dia masih lagi menyanyikan lagu-lagu berentak Dangdut sekiranya dia diberi pilihan. Perjalanan muzik Cakra berterusan dan sejak itu juga minat terhadap muzik juga berevolusi. Evolusi muzik Cakra bermula dari Dangdut, muzik tradisional hingga dia mula berjinak-jinak dengan kumpulan muzik ketiuka remaja. Dia juga memberitahu pangaruh muziknya juga merangkumi pelbagai genre malah dia juga pernah bereksperimantasi lagu yang berentak jazz, blues dan seriosa. Pendedahan kepada muzik seperti ini yang membantu Cakra untuk menemui identiti muzik sebenarnya untuk menembusi arena muzik arus perdana sekaligus popular di Malaysia. Menceritakan kejayaan single pertamanya, Cakra memberitahu dia terpaksa menempuhi pelbagai liku untuk berjaya. Dia juga perlu menghadiri sesi ujibakat sebelum dia dipilih untuk menjadi penyanyi kepada lagu ‘Harus Terpisah’. Lagu tersebut yang popular dalam kalangan peminat juga membawa kepada kejayaan single keduanya iaitu ‘Setelah Kau Tiada’. Tidak menyangka kejayaan dirinya dalam bidang nyanyian, Cakra akui dia masih baru dan ingin terus berkarya bagi kepuasan hatinya. Diberi pelaung untuk berduet bersama penyanyi nombor 1 negara, Dato’ Siti Nurhaliza, Cakra Khan terkejut dengan berita yang diberikan pihak pengurusannya itu. Bagi Cakra peluang untuk menyanyikan lagu bersama idolanya itu memberikan dia semangat untuk terus menjanjikan kualiti muzik yang terbaik untuk peminatnya. Siti Nurhaliza yang sebelum pernah berduet dengan nama besar seperti Kris Dayanti, Dato SM Salim, Hafiz Suip dan ramai lagi memilih untuk berduet dengan Cakra Khan kerana Siti sendiri kagum dengan suara dan bakat yang dimiliki Cakra. Lagu ‘Seluruh Cinta’ yang dirakamkan sewaktu kunjungan Siti ke Indonesia walaupun ketika rakaman tersebut, suami Siti ditimpa kemalangan di New Zealand. Lagu ‘Seluruh Cinta’ telah dimuatkan di dalam album terbaru Dato’ Siti Nurhaliza yang berjudul ‘Fragmen’. Cakra sekali lagi merasa terharu dan berbangga dengan kepercayaan Siti untuk memuatkan lagu gandingan mereka berdua di dalam album tersebut. Ketika ditemubual juga, Cakra turut memberitahu dia sedang dalam usaha untuk berduet bersama penyanyi British, Ed Sheeran dan memberitahu sekiranya perancangan tersebut menjadi, dia akan menjadi salah seorang artis Indonesia yang boleh berbangga dengan kejayaannya itu. Bercakap dengan persaingan yang dialaminya bersama penyanyi baru yang sedang meningkat naik, dia berkata dia akan terus berjuang untuk menghasilkan karya yang berkualiti khas buat peminatnya kerana baginya minatnya itu tidak akan pudar walaupun menerima pelbagai saingan sihat. Penyanyi berasal dari Pangandaran ini dalam usaha mengembangkan lagi pesona minatnya ke persada nusantara.
KKBOX Editor - Syahir Muhiddin
KKBOX Editor - Syahir Muhiddin

Latest articles

    share to facebook share to facebook share to facebook share

    Press Ctrl + C copy