Cakra Khan dan Anji Kini Prominen di Malaysia

Cakra Khan dan Anji Kini Prominen di Malaysia

Rakyat Malaysia akan menyaksikan penyanyi popular Indonesia seperti Cakra Khan, Anji dan Astrid apabila mereka yang bernaung di bawah My Music Records akan diedarkan muziknya melalui kerjasama dengan Sony Music Malaysia. Peluang ini dilihatkan akan membawa keuntungan kepada peminat di Malaysia untuk berasa lebih dekat dengan penyanyi-penyanyi My Music Records.

Cakra Fokus Karier Tahun Ini

Lumrah kekecewaan apabila baru sahaja keluar dari perhubungan yang tidak sihat, Cakra Khan yang ditemui ketika majlis menandatangani perjanjian antara Sony Music Malaysia dan My Music Records, cuba melindungi remuk hatinya itu. Namun itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk turut ditemuramah oleh para media. Nyanyiannya pada majlis tersebut turut tidak terkesan malah sama seperti selalu, penyanyi berusia 25 tahun itu memberikan persembahan yang terbaik.

Cakra Khan yang sedang dalam rangka memperkenalkan lagi single terbarunya, Kekasih Bayangan, meletakkan fokusnya 100% kepada kariernya. Baginya, adalah lebih senang sekiranya dia lebih memberi perhatian kepada kariernya itu dan menghargai peminatnya yang sentiasa mendoakan kebahagiaanya dalam hidup.

Tahun ini (2018) saya mahu menyanyikan lagu-lagu yang lebih berentak riang. Lagu yang saya nyanyikan sebelum ini mungkin lebih tragis atau sedih bukan kerana apa yang saya lalui. Itu semua cuma kebetulan dan apa yang berlaku kepada kehidupan peribadi saya menjadikan nyanyian saya lebih dijiwai.

Apabila ditanyakan tentang perancangan hadapan, Cakra yang akan lebih prominen di Malaysia, dalam usaha merakamkan album keduanya yang akan menemui peminat tidak lama lagi. Album yang akan akan memuatkan 10 lagu itu (termasuk Kekasih Bayangan), akan berpaksikan lagu-lagu yang mempunyai nuansa yang lebih positif dan dipilih oleh Cakra juga. Lebih dari separuh lagu di dalam album tersebut yang turut memuatkan 3 lagu sedih telahpun siap dirakamkan.

“Kekasih Bayangan terima respons yang baik dan lebih pantas dikenali berbanding lagu-lagu saya yang terdahulu. Saya harap lagu dalam album saya yang akan keluar nin mendapat sambutan yang sama juga,” kata Cakra.

Cakra yang baru sahaja putus bercinta 3 hari sebelum ditemuramah, memberitahu hatinya belum terbuka untuk berlakon. Walaupun sering membintangi muzik videonya sendiri, dia kurang pasti untuk membintangi filem ataupun drama walaupun sering menerima tawaran. Sebagai untuk tidak menolak sepenuhnya tawaran tersebut, Cakra selalunya akan menawarkan untuk menyanyikan runut bunyi (OST).

“Saya lebih selesa sekiranya menyanyikan OST kepada drama mahupun filem. Bagi saya, menyanyi itu lebih jiwa saya,” katanya mengakhiri perbualan kami.

Anji Belajar Bahasa Isyarat untuk Peminat Istimewa

Kali terakhir terdengarkan nyanyian lelaki segak bertopi ini adalah ketika dia berduet bersama Ratu Rock tanah air, Ella melalui lagu ‘Risalah Cinta’ tidak lama dahulu. Anji yang kini popular dengan lagu Dia, akan lebih kembara lebih di Malaysia bagi mengubat rindu peminatnya di sini.

Anji memberitahu lagu Dia adalah instalasi pertama dalam trilogy lagu cinta Anji. Keunikan dalam trilogi ini, Anji mahu membawa peminat untuk menyaksikan bagaimana lagu tersebut membesar bahagia bersama penonton. Dari seawal perkenalan melalui lagu Dia, Bidadari Tanpa Sayap mengisahkan bagaimana lelaki tersebut mengajak cintanya bernikah. Instalasi ketiga dan terakhir untuk trilogi tersebut akan menemui peminat tidak lama lagi. Lagu ketiga tersebut akan berkisarkan tentang sambutan ulangtahun perhubungan pasangan di dalam lagu tersebut.

Keunikan Anji juga terlihat melalui video muziknya yang turut mengetengahkan bahasa isyarat untuk peminatnya yang kelainan upaya pendengaran untuk sama menikmati lagu-lagunya. Walaupun dia bukan penyanyi yang pertama menampilkan bahasa isyarat dalam muzik video, namun dia ingin jadi yang pertama konsisten dalam menghiburkan peminatnya yang istimewa itu. Anji juga sentiasa menyediakan sarikata pada setiap videonya itu.

Pada mulanya ia adalah hanya gimik. Namun, ramai pula peminat istimewa saya menerima baik usaha saya itu. Walaupun mereka tidak mampu menghayati muzik saya, tetapi mereka dapat merasakan bait-bait lirik yang puitis yang saya nyanyikan dalam lagu tersebut.

Anji juga memperjuangkan bahasa isyarat yang digunapakai sejak sekian lama oleh peminat OKU nya itu. Katanya, bahasa isyarat terbaru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Indonesia kurang praktikal berbanding bahasa yang mereka gunapakai sekarang.

Anji juga berharap agar usahanya itu turut diterima baik oleh semua peminatnya dan agar peminatnya terus bersama mengetengahkan kepentingan OKU juga.

KKBOX Editor - Syahir Muhiddin
KKBOX Editor - Syahir Muhiddin

Latest articles

    share to facebook share to facebook share to facebook share

    Press Ctrl + C copy