5 Artis Malaysia Yang Perlu Diberi Perhatian Pada Tahun 2019

5 Artis Malaysia Yang Perlu Diberi Perhatian Pada Tahun 2019

Dunia muzik tempatan, sama seperti muzik global, semakin hari semakin berubah. Dengan lanskap digital tanpa sempadan, sesiapa sahaja kini mampu untuk berkongsi karya mereka menerusi penggunaan medium internet.

Lagu mereka boleh didengar sesiapa sahaja, apatah lagi dengan penggunaan servis strim muzik seperti KKBOX. Ia senjata ampuh untuk menempatkan artis baharu dalam dunia muzik arus perdana.

Dengan lambakan artis-artis baharu, kami bawakan kepada anda lima artis Malaysia yang patut anda perhatikan pada tahun ini.

1. Wany Hasrita


Nurshazwany Hasrita Hasbullah atau lebih dikenali sebagai Wany Hasrita berada pada carta paling teratas artis yang perlu diberi perhatian. Penyanyi berusia 26 tahun ini sememangnya punya potensi untuk mengorak langkah lebih jauh di dalam industri muzik tanahair. Kombinasi bakat dan sokongan kelab peminat yang digelar “Wanyhasnizers” membolehkan Wany bertapak kukuh dan dikenali ramai.

Singlepertamanya, Menahan Rindu sehingga kini telah mencatat lebih 32 juta tontonan di laman YouTube. Selain itu, Wany juga bertuah dinobatkan Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2017 tahun lalu, satu pencapaian menakjubkan buat insan yang baru beberapa tahun bergelar seorang penyanyi professional ini.

2. Naim Daniel

Baru berusia 21 tahun, Naim Daniel seorang pemuzik serba-boleh yang mampu menempatkan dirinya di tangga teratas pentas muzik tempatan. Laman Instagramnya tingkap ke dunia muzik Naim, dengan lambakan lagu coveryang diberi sentuhan peribadi dan nafas baharu, membolehkan kita sebagai penonton melihat sendiri kreativiti anak jati Kuala Lumpur ini.

Bakat Naim diasah sebaik mungkin, dan seiring dengan reputasinya sebagai seorang lepasan jurusan muzik sebuah universiti tempatan, Naim tekad mengeluarkan singleoriginaltahun lalu. Ia buah tangan perkenalan untuk satu hubungan yang bakal berkekalan antara dunia muzik Malaysia dan anak muda ini.

3. Masdo


Pop Yeh Yeh sebuah genre muzik yang cukup sinonim dengan era 1960an tanahair. Namun begitu, ia tidak begitu popular di kalangan penyanyi baharu. Cuba anda imbas, artis mana yang ada lagu berentak ini sejak tiga dekad lalu? Ya, tiada seorang pun.

Tetapi dalam kesuraman muzik baharu daripada genre ini, munculnya sebuah kumpulan yang entah dari mana datangnya, menerobos masuk dan mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan. Kugiran diberi nama Masdo ini meletup awal tahun lalu lantaran menjadi pilihan stesen TV tempatan sebagai penyeri acara-acara muzik mereka yang seterusnya mendekatkan muzik empat anak muda ini dengan golongan muda-mudi di luar sana.

Muzik mereka talian hayat buat Pop Yeh Yeh 60an, dengan acuan sendiri untuk kekal relevan buat khalayak millenialini.

4. Aman RA


Aman RA, atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin seorang rapper yang semakin meningkat naik namanya. Namun dia sebenarnya bukan baharu bertapak dalam muzik hiphop Malaysia. Aman dahulunya dikenali sebagai Kraft, seorang daripada duo bergelar College Dropouts bersama rakan sekolahnya, Caprice. Mereka pernah bergelar naib juara bagi sebuah pertandingan mencari bakat yang dianjurkan Astro lebih sedekad lalu.

Fasih dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris, Aman pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar muzik tempatan seperti Altimet, Dayang Nurfaizah dan Haqiem Rusli. Pada tahun lalu, dia telah melancarkan album studio sulungnya bertajuk REBEL. Ia sebuah album yang menempatkan Aman RA sebaris dengan rapper-rapper ulung Malaysia, dengan flowtersendiri dan lirik yang mendalam. Bukti bahawa sosok ini bukan calang-calang artis.

5. The Venopian Solitude


Saya kadangkala musykil kenapa muzik berkualiti daripada pemuzik tempatan jarang mendapat tempat di pentas arus perdana. Salah seorang artis yang bagi saya layak dan perlu diberi sepenuh perhatian oleh peminat muzik tanahair ialah The Venopian Solitude (TVS), sebuah projek muzik insan quirkybernama Takahara Suiko (bukan nama sebenar).

TVS bukanlah projek baharu bagi Takahara. Sudah hampir sedekad muziknya dikongsi menerusi laman sosial dan YouTube. Pengikutnya juga agak niche, biarpun sebenarnya TVS punya potensi untuk mengegarkan dunia muzik Malaysia kerana seperti yang saya katakan awalnya tadi, muzik berkualiti perlukan tempat yang sepatutnya, dan TVS layak duduk di atas sana, bersama sosok tubuh penyeri majlis anugerah tempatan,year in year out.

Dengarkan artis-artis ini di KKBOX!

Khaleeq S. Manja
Khaleeq S. Manja

Related Albums

Latest articles

    share to facebook share to facebook share to facebook share

    Press Ctrl + C copy