Fazura - Eksperimentasi Muzikal Seorang Jelitawan

  • Artis
  • Artis Wanita
  • Melayu/Indo
Khaleeq S. Manja

“Wow, cantiknya!” Itu frasa pertama yang muncul dalam benak fikiran saya menatap sosok tubuh jelitawan bernama Fazura secara dekat. Dia sememangnya seorang yang jelita, dan bila dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan saya, dapat dilihat Fazura juga seorang yang peramah dan mudah mesra dengan orang yang baru dikenali.

Saya berkesempatan bertemu dengannya baru-baru ini di pejabat Universal Music di Petaling Jaya. Fazura yang saya kenal ialah seorang pelakon serba-boleh yang berbakat besar. Dia pemenang kategori Pelakon Harapan untuk Festival Filem Malaysia Ke-17 melalui filem sulungnya, Bicara Hati. Tetapi, Fazura dilihat seperti tidak pernah berpuas hati dengan kejayaan demi kejayaan yang mendatang dalam karier lakonannya. Oleh sebab itu, dia mengambil keputusan untuk melebarkan sayap ke dalam bidang perniagaan melalui butiknya, House of Doll, dan kini Fazura menginjakkan diri masuk ke dalam bidang muzik melalui kelahiran album sulungnya, Fazura.

Bekerja dengan nama besar industri muzik nusantara seperti Rich Estranged, Anas Amdan, Ahmad ‘Kemat’ Khair dan Irfan Aulia daripada kumpulan Samsons sedikit-sebanyak mendebarkan Fazura yang baharu mula bertatih dalam bidang nyanyian. “Ya, tekanan itu ada. Apatah lagi bila album ini keluar saya akan menyanyikan lagu-lagu yang ada didalam album itu pada setiap persembahan pentas,” mula Fazura yang lebih mesra dipanggil Faz memulakan bicaranya bila ditanya tentang perasaan berdebarnya menjelang kelahiran album sulungnya itu. “Tapi mereka (komposer yang terlibat) memberikan sepenuh kepercayaan dan itu membuatkan saya lebih yakin,” sambungnya lagi.

Fazura sendiri sudah lali dikritik pengguna laman sosial dan pendengar muzik tempatan. Ramai juga yang mahukan Fazura bersara daripada dunia muzik dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya sebagai seorang pelakon sahaja. Tetapi bagi sang jelita berusia 34 tahun ini, kritikan itu diterimanya dengan hati yang terbuka, apatah lagi komposer-komposer sendiri yang memberikan lagu mereka kepada Fazura untuk dilantunkannya.

“Kadangkala saya teragak-agak sama ada saya mampu menyampaikan sesebuah lagu yang diberikan atau mampukah saya mencapai not atau nada yang dikehendaki. Namun saya mendapat semula kepercayaan diri bila penulis lagu itu sendiri yang memberikan galakan dan motivasi kepada saya yang saya mampu buat,” kata Fazura sambil tersenyum, sesekali memandang ke bawah, seperti berhati-hati dalam menyusun kata.

I must admit, saya masih lagi mencari keselesaan. Dari segi persembahan dan gerak-geri saya, saya masih lagi ada sedikit perasaan malu di situ,” akuinya dengan sendiri.

Album perdananya sudah terjual lebih lima ribu unit sebelum ia mula dilancarkan secara rasmi 3 November lalu. Pencapaiannya itu membolehkan Fazura menerima Anugerah Emas daripada syarikat rakamannya, Universal Music Malaysia. Ia sememangnya satu pencapaian yang tidak disangka seniwati serba-boleh ini. Album self-titled yang mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan itu dihiasi sembilan buah lagu, antaranya termasuklah Bangun, Bisa Apa, Cinta Langka dan Hanya Tuhan Yang Tahu.

Bila ditanya tentang lagu paling susah untuk dirakamnya, Fazura lantas menyatakan Hanya Tuhan Yang Tahu menguji kemampuan vokalnya semaksima mungkin, apatah lagi lagu itu turut mempunyai versi Inggeris yang dimuatkan di dalam album yang sama, bertajuk Only God Knows.

In my book, it is probably the most beautiful song in the album,” mula Fazura membincangkan proses menyiapkan lagu itu. “Variasi lagu tersebut semasa korus kedua agak tinggi untuk suara saya. Alwyn Santiago (penulis lagu) memang push me really hard. Dia memberikan galakan dan akhirnya saya mampu membawakan lagu ciptaannya itu dengan baik.”

Berbelas tahun di dalam industri hiburan tanahair, bermula sebagai seorang pelakon dan kini menginjakkan kaki ke dalam bidang nyanyian, adakalanya Fazura merasa bebanan yang teramat berat dipikulnya melalui liku-liku sebagai seorang anak seni. “Migrating has crossed my mind dulu. Sometimes when you’re at your peak, awak akan rasa diri terkongkong,” kata Fazura. Raut wajahnya berubah seketika menjadi serius. Saya yang duduk di sebelahnya dapat merasakan Faz umpama berbicara dengan jujur buat kali pertamanya hari ini, membuka topeng selebritinya, dan menjadi Nur Fazura Sharifuddin yang sebenar.

I wanted to leave the industry. I want to leave sekejap dan lihat apa yang akan terjadi,” ujar anak jati Pekan, Pahang itu. “Tapi setiap kali that thought crossed my mind, thru and thru again, saya akan cari that courage dan cuba untuk bersyukur dengan apa yang saya sudah kecapi selama ini.”

Muzik mungkin bukan pilihan pertama sang jelitawan ini. Biarpun selalu dikritik dan dipandang rendah, sosok tubuh bernama Fazura ini akan terus kental meneruskan kerjayanya. Prinsipnya, biar apa orang mahu luah, dia tetap disini, mencabar diri untuk menjadi versi diri yang terbaik buat dirinya sendiri. Bermula dengan sebuah ekperimentasi muzikal, siapa tahu apa yang mendatang buatnya. Namun Fazura akan terus mencuba selagi berdaya.

Khaleeq S. Manja

Khaleeq seorang wartawan dan penulis dari Kuala Lumpur, Malaysia. Muzik dan filem dua medium seni diminatinya. Dengan ijazah dalam bidang penyiaran, kini dia sedang meneroka cara penceritaan baru dan bercita-cita untuk mengapai langit biru tanpa perlu menggunakan tangga.

Album berkaitan

Galeri foto