Nukilan Dalam Definisi

Nukilan Dalam Definisi
Farrah Jamal
Farrah Jamal
Dia tampil dengan buah tangan ketiga, album berjudul Definisi untuk terus menghiburkan para peminat dengan alunan lagu-lagu nyanyian penyanyi bersuara lunak, Alif Satar. Album kali ini mempertaruhkan sebanyak 8 buah lagu, dengan titipan irama jazz dan pop serta balada sesuai dengan kebolehan suara yang dimiliknya. Saat mendengar lagu pertama dari album ini, Alif Satar tidak lari dari lagu yang berentak mencuit. “Gadis Tiga Bulan” kedengaran seperti lagu hits Alif Satar sebelum ini diantaranya “Jangan Nakal” dan “Abdul”. Alif Satar pandai menceritakan tentang cinta dalam bentuk lebih santai dan menghiburkan. Namun begitu, jika dibandingkan dengan citarasa dari album sebelum ini, nada lagu dalam Definisi agak serius dan melihatkan Alif Satar lebih berani menyanyi lagu yang lebih dewasa. Ini sekaligus menepis tohmahan di luar sana yang seakan-akan mempertikaikan kebolehan nyanyian Alif Satar. Tidak dinafikan, Alif Satar mempunyai tona suara yang sedap didengar, keupanyaan nada yang pelbagai menjadikan semua lagu yang dialunkan seperti tiada cacat cela. Saat mendengar lagu “Kerna Dia”, alunan melodi lembut serta mendayu-dayu membawa kita terbang dalam emosi kecewa akibat dicurangi kekasih. Lirik yang puitis benar-benar menusuk ke kalbu. Untuk pengetahuan, lagu “Kerna Dia” adalah hasil ciptaan bersama Adnan Abu Hassan (lagu) dan Habsah Hassan sebagai penulis lirik. Lagu tersebut telah dilancarkan sebagai single dan akui Alif Satar sendiri, dia merasakan menyanyikan lagu ini merupakan satu cabaran memandangkan lagu tersebut merupakan hasil karya orang-orang hebat dalam industri seni. Oleh yang demikian, Alif Satar meletakkan usaha yang tinggi untuk menyanyikan lagu tersebut dengan baik. Sedikit tentang Alif Satar, disamping menyanyi, Alif Satar juga merupakan pengacara TV (Idola Kecil), penulis lagu dan buku serta pernah berlakon. Antara drama lakonan Alif Satar adalah “Usin UFO” hasil arahan Zul Yahya serta telemovie “Lari Sayang, Lari” yang disiarkan di Astro Prima. Alif Satar merupakan pemenang tempat ketiga dalam rancangan One In A Million yang disiarkan di 8TV dimana beliau mengalahkan Dayang Nurfaizah yang mendapat tempat keempat. Mari kembali semula kepada Definisi. Ada sebuah lagu yang mengambil ilham penceritaannya dari kota metropolitan negara seberang, Jakarta. “Nona Jakarta”, lagu berentak catchy amat menghiburkan, ternyata Alif Satar tidak lupa pada para peminat di sana serta boleh mengumpul lebih ramai peminat dari Indonesia. Pada pendapat aku, lagu yang bakal meletup ialah lagu berjudul “Akhiri Penantianku”, lagu pop rock, melodi yang diminati dan seperti lagu runut bunyi. Di dalam album Definisi ini, ada juga diselitkan sebuah lagu berbahasa Inggeris berjudul “Sliding Doors”. Lagu ini menceritakan tentang perihal sepasang kekasih menjalani apa-apa dugaan dihadapan, sentiasa bersama dalam ketidaksamaan yang dialami, lebih kepada perjuangan untuk terus bersama kerana apabila berdua, mereka sempurna. Aku tidak sabar menanti video muziknya dilancarkan kerana aku ingin segera kongsi lagu ini di Facebook. Sejujurnya, Alif Satar berani meletakkan genre bercampur-campur didalam satu album ini. Karyanya tidak terarah kepada satu jenis rentak muzik sahaja dan ini sekaligus memberikan lebih kenikmatan kepada pendengar saat memutarkan lagu-lagu di dalam album ini. Walaupun hanya 8 buah lagu, namun kepuasan itu dapat dirasai saat mendengar Alif Satar mendendangkan nyanyiannya. Pasti Alif Satar teruja dengan kelahiran album terbarunya ini, dan lebih mengujakan ialah apabila mendapat respon dari para peminat. Apa yang pasti, nyanyian Alif Satar dalam album ini tidak mengecewakan disamping barisan lagu yang mantap. Semuanya sedap-sedap belaka!
Farrah Jamal
Farrah Jamal

Related Albums

Latest articles

    share to facebook share to facebook share to facebook share

    Press Ctrl + C copy